Orang yang mengembara pada jalan kerohanian menuju Allah s.w.t melalui empat suasana:
1: Suasana nafsu ammarah atau sifat-sifat kebinatangan yang tidak menghiraukan batasan hukum dan suka memperturutkan hawa nafsunya. Inilah suasana ahli dunia.
2: Suasana mengurung hawa nafsu dalam kandang hukum. Perkara haram dijauhkan dan banyak daripada perkara halal ditinggalkan kerana takut terjerumus ke dalam yang haram, juga supaya nafsu kebinatangan tidak kembali segar. Inilah suasana ahli akhirat yang kuat berpegang kepada syariat.
3: Suasana nafsu kebinatangan sudah dikalahkan dan hati mengalami alam kebatinan atau hakikat. Pancaran nur iman dan tauhid menerangi hati, membawa hati memperolehi isyarat-isyarat ketuhanan atau ilmu Rabbani. Inilah suasana kewalian.
4: Suasana kehendak, maksud diri dan kesedaran diri terhapus dan dia masuk ke dalam keredaan dan kurniaan Allah s.w.t. Dia tidak lagi menggunakan apa yang mendatangkan manfaat kepadanya dan tidak menghindarkan apa yang mendatangkan mudarat kepadanya. Dia hanya bergantung dan menyerah kepada Allah s.w.t tanpa berkehendakkan apa-apa. Dia tidak lagi meminta pertukaran makam, tidak berhajat kepada apa-apa dan tidak memilih sesuatu untuk dirinya. Dia menerima takdir Allah s.w.t dengan reda. Inilah suasana badliat atau aulia pilihan Allah s.w.t.
Dalam perjalanan menuju makam takdir dan lakuan Allah s.w.t seseorang itu membuang keseronokan, kehendak dan kepentingan diri sendiri. Tidak ada maksud dan tujuannya kecuali Allah s.w.t. Dirinya sendiri sudah tidak kelihatan pada mata hatinya. Apabila dia sudah sampai ke makam takdir dan lakuan Allah s.w.t, maka Allah s.w.t mengembalikan dirinya dan keinginannya. Dia kembali kepada kesedaran kemanusiaan yang mempunyai hajat keperluan kepada Allah s.w.t. Allah s.w.t memerintahkan kepadanya supaya meminta apa-apa yang telah diperuntukkan kepadanya. Permintaannya itu pasti dimakbulkan Allah s.w.t sebagai ganjaran bagi kesusahan yang telah ditempuhinya, juga sebagai menyatakan kedudukannya di sisi Allah s.w.t dan keredaan Allah s.w.t kepadanya. Orang yang sempurna perjalanan kerohaniannya kemudian kembali semula kepada makam insan adalah hamba yang layak bergelar khalifah Allah. Para khalifah Allah bekerja memakmurkan bumi ini dan membimbing manusia ke jalan Allah s.w.t. Sesuai dengan makam insan di mana dia didudukkan, maka dia bekerja mengikut cara manusia umum. Apabila dia berhajat sesuatu dia akan meminta kepada Allah s.w.t. Allah s.w.t akan memakbulkan permintaannya sesuai dengan kedudukannya sebagai khalifah. Cara hidup begini ketara ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w, di mana baginda s.a.w sangat gemar berdoa kepada Allah s.w.t dan tidak ada doa baginda s.a.w yang dipersiakan Allah s.w.t. Hati yang telah cenderung untuk berdoa, setelah melepasi makam tiada doa, menunjukkan bahawa Allah s.w.t telah menyediakan kurniaan untuknya. Permintaan tersebut merupakan keizinan untuk dia mengambil apa yang menjadi bahagiannya.
Orang yang beriman yakin dengan janji Allah s.w.t untuk memakbulkan segala doa. Mereka tidak jemu berdoa sekalipun ia mengambil masa yang lama untuk memperolehi apa yang didoakan itu. Nabi Zakaria a.s adalah salah seorang yang tidak jemu berdoa kepada Allah s.w.t. Kelambatan masa tidak mengurangkan keyakinan beliau a.s.
Allah s.w.t menjadikan doa sebagai satu hubungan seni di antara Dia dengan hamba-Nya. Dia suka mendengar hamba-Nya berdoa kepada-Nya, hinggakan di dalam syurga pun Dia masih memberi keizinan untuk hamba-Nya berdoa.
Orang-orang yang hampir dengan Allah s.w.t, para ahli syurga gemar berdoa kepada-Nya kerana doa itu adalah perhubungan kasih sayang di antara Tuhan dengan hamba-Nya. Allah s.w.t ‘memanjakan’ hamba-Nya dengan membuka pintu doa.
Sufizone & Hikamzone By Pondok Pesantren Subulus Salam : www.ppsubulussalam.co.cc
Posting Komentar