Semua makhluk asalnya tidak ada. ‘Adam (yang tidak ada) adalah zat makhluk. Apabila Allah s.w.t berkehendak menciptakan makhluk maka disinari-Nya ‘adam dengan cahaya nur Wujud-Nya lalu ‘adam menjadi maujud. Makhluk dalam aspek zatnya yang asli adalah ‘adam (tidak wujud) dan dalam aspek kewujudan adalah ciptaan Allah s.w.t yang bergantung kepada Wujud Allah s.w.t. Nikmat pertama yang dikurniakan Allah s.w.t kepada ‘adam (zat makhluk) adalah nikmat penciptaan iaitu ‘adam diterangi dengan cahaya nur Wujud Allah s.w.t, lalu terciptalah makhluk. Bagi ‘adam apabila Allah s.w.t kurniakan kepadanya kewujudan itu merupakan nikmat yang sangat besar, tidak ada yang selain Allah s.w.t dapat berbuat demikian.
Dan Allah menciptakan tiap-tiap haiwan yang bergerak itu dari air; maka sebahagian di antara mereka menjalar atas perutnya, dan sebahagian di antaranya berjalan dengan dua kaki, dan sebahagian lagi berjalan dengan empat kaki. Allah menciptakan apa sahaja yang Ia kehendaki (selain dari yang tersebut), kerana sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. ( Ayat 45 : Surah an-Nur )
Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya, dan dimulakan-Nya kejadian manusia berasal dari tanah; Kemudian Ia menjadikan keturunan manusia itu dari sejenis pati, iaitu dari air (benih) yang sedikit dipandang orang; Kemudian Ia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan padanya; roh ciptaan-Nya. Dan Ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu yang bersyukur. ( Ayat 7 – 9 : Surah as-Sajdah )
Setelah memberinya nikmat kewujudan Allah s.w.t mengurniakan pula nikmat ke dua, iaitu keberlangsungan kewujudan itu. Pada nikmat pertama ‘adam memperolehi taraf al-khalaq (makhluk atau ciptaan) dan pada nikmat ke dua makhluk mendapat taraf abd (hamba yang mempunyai Tuan yang menguruskan kehidupannya). Makhluk memperolehi kewujudan dan abdi meneruskan kewujudan serta ada Qadar untuknya. Setiap abdi Allah s.w.t disediakan ketentuan untuknya dan tidak ada abdi yang lain dapat menghalangnya dari menikmati apa yang telah Allah s.w.t peruntukkan kepadanya. Telah diperuntukkan sejumlah nafas yang akan dihirupnya, rezeki yang akan dinikmatinya, umur yang akan dijalaninya dan berbagai-bagai lagi yang tidak mungkin disenaraikan. Tidak ada kewujudan abdi yang boleh berkata Tuhan menciptakannya kemudian membiarkannya begitu sahaja. Abdi yang pada mulanya tidak ada, sebaik sahaja dia menjadi ada, didapatinya segala keperluan kewujudan dan kesinambungan kewujudannya telah pun disediakan oleh Allah s.w.t. Begitulah besarnya nikmat susulan yang mengiringi nikmat penciptaan yang dikurniakan Allah s.w.t kepada hamba-hamba-Nya. Setiap hamba-Nya menerima layanan yang adil dari-Nya tanpa mengira apakah mereka ahli taat atau ahli maksiat. Nikmat-Nya merata kepada semua penciptaan-Nya.
Sufizone & Hikamzone By Pondok Pesantren Subulus Salam : www.ppsubulussalam.co.cc
Posting Komentar